Selasa, 11 Jun 2013

Riwayat 7 - Sahabat Teragung (3)

Temasya sukan tahunan sudah berlalu, tak ada lagi aktiviti luar yang boleh aku harapkan untuk kembalikan kejadian seperti hari itu. Kejadian di mana buat pertama kalinya komunikasi aku dengan budak lelaki itu berlaku. Kini pembelajaran dimulai lagi tanpa kendala bererti. Aku mungkin tak perlu lagi berharap temui 'sahabat' yang aku ingini itu. 'Sahabat' yang kali pertama aku lihat ketika di sawah pada cuti hujung tahun yang lalu.

Sebenarnya sesi persekolahan masih muda. Aku masih di Tingkatan 4. Masih banyak masa untuk terlalu memikirkan SPM. Bagaimanapun tetap juga ada ujian penggal yang harus dijalani. Aku akui bahawa aku harus melupai hasrat yang mungkin takkan tercapai. Hasrat bersahabat dengan remaja itu, mungkin hanya angan-angan yang tak berdasar. Tak ada apa lagi yang memungkinkan keajaiban itu terjadi. Kini, aku harus kembali belajar seperti dulu. Belajar dengan rakan sekelas dan berdiskusi hal-hal remaja yang sesuai dengan tingkat perkembangan minda kami. Hal-hal rakan sebaya. 

Di sekolah ini, aku ada enam sekawan. Namun aku lebih rapat dengan Suhail kerana jarak rumah kami yang lebih hampir. Apalagi kerana kami tinggal di jalur jalanraya yang sama. Jadi kami sering pulang berdua. Tapi tengahari itu, aku pulang sendiri. Suhail ada mesyuarat persatuan. Jadi aku pilih balik awal. Malas pusing-pusang di pekan sendirian. Aku pulang naik bas sekolah, lebih cepat sampai, dan percuma lagi.

Dalam bas, aku pilih tempat duduk paling tepi di bahagian tengah badan bas. Seperti biasa, bas sekolah yang tak kenakan biaya ini bergerak bersama muatan yang lebih had. Tapi pada hari ini, di dalam muatan yang sendat itu ada dia. Tanpa di sangka, remaja lelaki yang sangat ingin aku kenali itu ada di depan mata. Remaja yang dulu aku temui di sawah, kini ada dalam satu bas yang sama. Ya Allah, terima kasih kerana makbulkan hasratku.

Dengan rasa berbunga-bunga, aku pandang dia. Aku mahu dia tahu kalau aku ada di dekat dia. Syukur pada Tuhan, dia sedar, dan tiba-tiba dia senyum. Tapi pandangan matanya dia buang jauh ke luar. Aku tak mahu terlalu berharap. Barangkali dia senyum akan hal-hal luar yang sedang bermain di mindanya. Aku berhenti berharap. Tak mahu cepat-cepat perasan kalau senyuman manis itu untuk aku. itu mungkin itu hanya perasaan sendiri.

Sesi senyum pandang bermula lagi. Mata aku yang tadinya melihat keluar, aku halakan ke arahnya. Dan dia tersedar lagi, lalu tersenyum semula. Tapi pandangan matanya pantas dialih keluar. Hairan budak ini. Dia buat aku penasaran.

Buat ke sekian kalinya aku lihat dia lagi. Dan dia tersenyum lagi. Aku mengalah juga kerana tak tahan mengawal bibir dari mengukir senyum,  Lalu senyumku yang paling mahal itu pun pecah jua. Kerana aku tahu dia juga melihat aku.

Sedang kami berbalas senyum, bas berhenti betul-betul di kampung pertama, Kampung Haji Salim. Aku ingat, aku pernah lihat bahwa dia pernah tunggu bas di kampung ini. Bererti ini kampung dia. Tapi dia tak turun. Dia masih duduk di bangku yang sama dalam bas ini. Tak berganjak sedikitpun dari tempatnya. Hairan lagi. Aku semakin penasaran. Dalam hati bertanya 'kenapa dia tak turun di situ?'  Dia tetap senyum seperti tadi.

Bas bergerak semula. Kali ini dia bangun, berjalan ke belakang lalu dia duduk betul-betul di sisiku. Kini dia di sebelah, dan nyata ada di depan mata. Berbunga rasa hati. Alam ini seperti jadi milikku. Hasratku termakbul.

"Kenapa tak turun tadi?" aku mulakan bicara. Dia diam. Hanya ada senyum yang terukir. Dunia serasa mati. Beberapa suara sumbang remaja nakal yang tak henti memekak mencacatkan suasana. Bas terus laju menuju kampung-kampung seterusnya.

"Aku nak ikut kau balik, boleh?" tiba-tiba dia bersuara."Oh...?," aku tergamam. Tak mampu teruskan kata-kata. Hati jadi kembang dan tak semena-mena berdebar. Sempat aku lihat tag nama pada bajunya. Di situ tertulis "SAMSURIZAN".

"Kenapa tadi kau tengok aku?" tanya Samsurizan. Aku terdiam lama. Tak tahu harus balas apa pada soalan yang seperti satu temparan padu. "Kau pula, kenapa tengok aku?"  tanyaku mengalih soalan. "Sebab aku memang cari kau" balas Samsurizan jujur. Aku terdiam lagi. Terkelu lidah sebaik mendengar jawapan paling ikhlas dari seseorang yang baru berusia awal remaja.

"Aku pun cari kau"  balasku, mengulangi jawapan Samsurizan. Aku makin berani bersuara demi melihat dia yang tak sedikitpun berselindung. Hebatnya aturan Tuhan, Dia memang mengerti keinginan dua insan yang benar-benar ingin bersahabat. Suasana mati lagi. Kelu lidah ini, tak tahu apa yang nak dibicarakan.

"Samsurizan!, pertama kali aku panggil nama itu. "kampung aku dah sampai, jadi aku turun di sini" sambungku lagi. "Ok, aku pun turun sini". jawab dia selamba. Kelam-kabut aku dengar jawapan itu. Tak tahu mana nak ku bawa dia nanti. "Tak usah risau, aku hanya temankan kau sampai sini". Jelas Samsurizan. "nanti aku naik bas lagi sampai Kampung Haji Salim" sambung dia.

Tengahari itu, buat pertami kalinya, dan pada komunikasi perdana kami, Samsurizan berani temaniku hingga ke depan kampung. Tak terbayang bagaimana semua ini boleh berlaku.

Sampai hari ini, tak hilang momen indah itu

"Perempuan itu adik kau, bukan?" tiba-tiba dia bersuara. Rupanya dia lebih kenal latar diriku. Sudah banyak info tentang aku yang dia cari. "Adik kau tingkatan 2 Gemilang, kan?" ujurya lagi. Kagumnya aku. Entah bagaimana dia tahu semua ini.

Aliza, adik perempuanku itu tak tangguh-tangguh berjalan pulang. Aku tak turuti langkah dia. Ada rasa takut dan malu dalam diriku kalau Aliza melihat, Aku takut fikirkan yang bukan-bukan tentang pandangan orang. Namun ada juga rasa bangga. Aku kini miliki sahabat yang aku kira cukup sempurna. Sahabat yang memang aku cari berbulan lamanya.

Lama juga tunggu di pinggir jalan, di perhentian bas di depan kampungku, untuk bantu Samsurizan tunggu bas. Aku tak terfikir mahu bawa pulang dia ke rumah. Takut kena marah. Tiba-tiba di bersuara "Abang, bas dah sampai". teriak Samsurizan. Dia panggil aku abang. Pertama kalinya seumur hidupku ada yang panggil aku abang. Adik aku pun tak pernah panggil aku abang.

"Bang, bas dah sampai" Sambung dia ketika aku masih kaget dengar panggilan keramat itu."Oke-oke, nanti kita jumpa lagi"  balasku laju. Terkejut dengar ulangan dia kali yang kedua. Cepat rasanya masa berlalu. Sahabat yang susah payah aku cari ini sudah mahu pergi. Sebagai tanda penghormatan, aku ucapkan kata-kata ini, 'hati-hati di jalanan duhai adikku', tapi ucapan itu hanya mampu ku lontar dalam hati, tak berani lafazkan dengan nyata kerana aku belum yakin pada diri sendiri.

Kini aku kenal dia. Hari ini, detik ini dan tempat ini, telah jadi saksi bisu bagaimana mulanya persahabatan paling suci pernah aku jalani. Sahabat pertama yang paling aku sayangi. Sahabat pertama yang paling aku hormati dan dialah sahabat paling agung yang pernah aku miliki. Semoga saat ini Samsurizan bahagia di mana pun dia berada.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan