Selasa, 3 September 2013

Riwayat 9 - Sahabat Teragung (5)

Coretan ini ialah sebuah kisah yang pernah terjadi bertahun-tahun yang lalu, tentang kisah persahabatan paling agung antara saya dan Samsurizan (Izan) ketika zaman remaja hingga menginjak usia awal dewasa - sebelum terputus. Ia sebuah kisah persahabatan zaman sekolah menengah hingga berlanjutan ke pusat pengajian tinggi. Bunyinya mungkin biasa-biasa saja, tapi pengisiannya ialah sebuah kisah yang tak dapat saya lupakan hingga ke hari ini. Putusnya persahabatan ini ialah satu tragedi yang amat saya sesali, mungkin untuk seumur hidup. Mana tidak, Samsurizan ialah sahabat paling baik pernah saya miliki. Terlerai ikatan ini mungkin sudah ketentuan. Semakin usia meningkat dewasa, semakin jurang persahabatan kian jauh. Masing-masing mengikut nasib sendiri meski adakalanya cuba dipertahankan. Atau mungkinkah itu salah saya sendiri? 

Cerita bermula, sambungan dari episod terdahulu di bawah kategori Sejarah Hidup.

Persahabatan teragung dalam catatan hidup saya hanya bertahan 6 tahun, sebelum ia sedikit demi sedikit masuk ke detik sukar. Bibit perpisahan sudah terlihat ketika saya hampir tamatkan zaman sekolah. SPM yang bakal saya tempuh jadi penyebab keakraban kami jadi ranggang. Saya terlampau fokus pada jalan depan yang masih samar. Hingga saya tinggalkan kebiasaan sehari-hari kami. Ditambah tekanan yang datang dari keluarga yang sentiasa pantau pergerakan saya, membuat saya rasa terlalu berdosa. Saya seperti telah khianati janji-janji yang kami sepakati.

Kalau boleh mahu saja saya undurkan masa agar peristiwa itu boleh diulangi kembali. Malah kadang pernah saya fikir kenapa saya tidak dilahirkan seusia dengannya supaya kami boleh sama-sama lalui hidup ini. Tapi itu hanya mimpi. Percayalah, rasa sayang saya pada sahabat sepertinya takkan pernah mati walau apapun terjadi. Malah hingga ke detik ini.

Mendekati SPM, amali kimia, fizik dan biologi berlangsung setiap minggu. Masa terluang sudah tentu bukan waktu untuk kami lagi. Saya makin sering bunuh waktu bersama rakan-rakan seangkatan. Dan asyik merungkai muslihat matematik tambahan bersama rakan seusia. Sedangkan Samsurizan masih ada waktu terus bersenang dan habiskan petang di sawah seperti biasa. Semua ini benar-benar mematikan kebiasaan kami. Mujur kami masih ada waktu jalan beriringan ke sekolah. Hanya sebatas itu. Namun percayalah, jauh di sudut hati, saya mahu lebih dari itu. Cuma situasi tidak mengizinkan.

Setelah sekian tahun kisah itu terjadi, saya ke sawah semula. Ketika itu barulah terbit rasa sayu tatkala memandang sawah itu. Terimbau kisah lama. Tergambarkan semula dua anak remaja bermain berlari-lari di tengah sawah, bersilat gayong, bergurau-senda, kemudian salah seorang terjatuh dan mengeluh adoi, kemudian datang seorang lagi tunduk menyesali, bermohon maaf dan merawat sahabatnya hingga sembuh, pulih dan bermain kembali. Ah, sayangnya itu hanya bayangan lalu. Kini sebagaimana sawah itu sudah terabai, begitulah terabainya diri saya, hilang sahabat yang saya sanjungi hingga kini.

Menghadap sawah yang kontang itu, saya hanya mampu monolog sendiri. 'Samsurizan... masih ingatkah kau minggu akhir sesi persekolahan aku di sekolah kita? ketika aku dan semua pelajar Tingkatan 5 dirai?. Tentu kau tak akan lupa ketika aku sebut kau sebagai adikku pada majlis perpisahan itu. Masih segar dalam ingatan ku ketika kawan-kawan tiba-tiba bertanya; "Lek, sejak bila kau punya adik?", Lek, adik kaukah itu?" Lek, kirim salam pada adikmu", ...Lek ini, Lek itu, dan macam-macam pertanyaan lain yang terlontarkan. Paling bangga bila ramai yang kata wajah kita mirip'.

Masih saya ingat ketika saya dan Izan bertukar baju sekolah yang lengkap dengan tag nama dan lencananya. Baju sekolah yang masih lekat bau peluh Izan, saya saya pakai hingga sampai ke rumah, Dan tiba-tiba ibu marah "baju siapa pula yang kau pakai tu?" Baju itu bertahun-tahun saya simpan, sampai ia buruk sendiri. 

Assalam, sahabatku Samsurizan. Maafkan aku kerana tak dapat lagi bertemu mu selepas tamat SPM. Sebenarnya aku dihantar ayah ke Kota Bahru tanpa aku mahu. Tak ada kesempatan apapun yang aku peroleh untuk khabarkan pemergian ku ini. Aku tahu kau masih setia menunggu ku di sawah, dan lakukan kebiasaan kita seperti biasa. Aku sadar betapa kau kecewa, kerana aku juga merasakan seperti itu. 

Berulang kali saya baca catatan yang pernah saya tulis dalam nota kecil saya. Satu permohonan maaf yang tak terlauhkan. Hanya mampu diungkapkan pada secebis kertas.  

Sebaik pulang ke kampung dari Kota Bahru, cuti sekolah sudah berakhir. Namun tak ada ertinya lagi buat saya kerana kami tak lagi belajar di sekolah yang sama. Saya sedang tunggu keputusan SPM diumum. Sedangkan Izan masih ada dua tahun lagi di sekolah itu. Kini Izan naik Tingkatan 4. Sudah makin besar. Sudah makin dewasa. Ketika itu, saya rasa tak sabar bertemu dengannya hingga pernah saya cari alasan berjumpa cikgu untuk ke sekolah semula. Padahal saya hanya ingin lihat dia.

Sayang sekali, masa terlalu cemburukan persahabatan ini. Tiap apapun yang kami rangka ada saja hambatannya. Saya dapat rasakan usia persahabatan ini makin sampai ke hujungnya. Sejak tamat SPM, hanya sekali-sekala kami jumpa. 

Saya masih ingat saat Izan temani saya ke bandar Batu Pahat dulu. Waktu itu, dia tawarkan diri temani saya daftar Unit Pusat Universiti. Masih saya ingat kami tersalah naik bas, lalu terpaksa berhenti lama di perhentian bas di kampung yang entah di mana. Masih saya ingat ketika Izan tak dapat tahan kencing lalu terpaksa tunai hajat di semak belakang. Saya masih ingat kerana sayalah yang jadi dindingnya. Menghalang Izan dari dicurigai, dan dari dilihat orang kampung yang lalu-lalang ke sana ke mari. Masih saya ingat Izan terburu-buru sarung seluarnya semula. Semuanya masih saya ingat kerana kali ini saya lihat barang peribadi dia sudah beza saiznya. Tidak lagi bersaiz kecil seperti dulu. Tapi serius, saya tak teruja apa-apa. Sebaliknya hanya keinginan untuk lindungi aib dia. Kerana dia adalah Samsurizan. Kerana dia sahabat teragung saya.

Atas jerih payah ini, saya berjaya sambung pelajaran di sebuah universiti di utara. Terima kasih tak terhingga, adikku, sahabatku.

Tapi ketika di universiti, makin banyak aktiviti yang menyibukkan saya. Sampai saya lupa ada sahabat yang masih setia di kampung yang jauh di selatan sana. Bertemu rakan baru, berdepan cabaran baru, sedikit sebanyak merubah karekter saya. Dan saya mulai tahu, hidup di zaman kuliah jauh beza dari hidup di zaman sekolah. Saya kini lalui fasa baru. Bukan saja corak pembelajaran yang beza, waktu sanggangnya pun tak sama dengan waktu cuti sekolah biasa. Saya merasa setingkat lebih tinggi dari kawan-kawan di kampung. Saya leka dengan dunia baru ini, yang jauh lebih asyik dari zaman sekolah dulu. Atas kelekaan itu, saya dan Samsurizan makin tak ada waktu. Saya akui, ingatan terhadapnya perlahan-lahan menjauh. Hanya ketika pulang kampung baru terfikir untuk saya cari dia. Itupun tak selalunya dapat jumpa. Saya lebih senang sibukkan diriku dengan rakan-rakan baru, yang belajar di universiti yang sama, yang berasal dari daerah yang sama.  

Masa silih berganti. Ternyata Samsurizan masih setia anggap saya sahabatnya. Samsurizan serius mahu sambung belajar di universiti yang sama. Kini peluang kami untuk rapatkan ukhuwah, terhidang depan mata. Saya gembira atas pencapaian dia. Setelah dua tahun persahabatan kami beku, kini saya terbayang bahwa ia bakal cair semula. Saya percaya kami masih mampu jalan beriringan.

Sejak itu bermulalah fasa kedua persahabatan ini. Tapi di dunia yang beza. saya masih ingat betapa seringnya saya tinggal di asramanya bila malas pulang ke rumah sewa. Saya masih ingat di setiap hujung minggu Izan pula yang datang ke rumah sewa saya. Saya masih ingat kami berdua sanggup redah hujan hingga ke Stadium Kangar demi saksikan pasukan bola kesayangan negeri kita. Saya juga masih ingat kami sering pulang kampung berdua, dan kembali ke utara bersama-sama.

Saya juga masih ingat akan gurau-senda kami yang ada-kalanya nampak gila. Saya masih ingat kami sering ke Panggung Hijau-Kuning untuk tonton cerita-cerita dewasa. Saya juga masih ingat bila Izan terpaksa tidur di rumah saya. Dan sambung bergurau tarik tuala ketika mahu mandi, hingga keduanya tertanggal tanpa seurat benang dan menampakkan belalai bersilih ganti.

Sayangnya ketika Izan masih Tahun 1, saya sudah di Tahun 3. Tahun terakhir saya untuk timba segala ilmu yang ada di universiti ini. Singkat sekali masa yang ada untuk kami cipta kenangan baru kerana saya akan tamat belajar terlebih dulu. Sayang sekali.

Mungkin sudah ketentuan. Saya terputus total dengan Samsurizan ketika sambung Ijazah Pertama di universiti terkemuka di ibu negara. Di sana, sekali lagi saya leka dengan teman-teman yang baru. Makin lalai dengan dunia plastik yang kelihatan asyik dari jauh. Dan yang paling saya sesalkan, naluri terbalik yang dulu pernah ada dalam diri saya dulu sudah subur kembali. Saya terima sahabat-sahabat baru yang sebenarnya hanya seperti biskut. Sekejap datang dan sekejap pergi, dan berganti sahabat baru yang akan pergi juga nantinya. Padahal sudah ada sahabat lain yang jauh lebih setia, jauh lebih mulia. Saya tegar lacurkan setia persahabatan yang terpatri semula jadi. Sayang sekali persahabatan yang tak nampak akan lerai, kini terbubar. Samsurizan seolah sudah malas susuli jejak saya lantaran banyak masa senggang yang saya ada, saya sibukkan dengan alasan yang sengaja saya cipta. Kini baru saya tahu, ramai kenalan yang sebenarnya datang dan pergi. Satu prinsip sosial yang dulunya sukar saya percaya, baru kini saya sedar bahawa ia ada. Selagi ada bulan dan bumi, kawan tetap datang dan pergi. 

Samsurizan, aku tujukan warkah maya ini buatmu: Maafkan aku sahabat kerana leka dengan dunia baru yang pernah aku lalui dulu. Maafkan aku kerana tidak tumbuh jadi sahabat baik yang engkau harapkan. Maaf andai aku enggan berdepan denganmu kalau kita bertemu lagi, aku cuma rasa malu kerana aku bukan lagi Alek yang pernah kau kenal dulu. Aku semakin dekat dengan dunia songsang yang penuh hina ini. Suatu dunia yang paling engkau takuti. Tapi percayalah, rasa sayang pada sahabat sepertimu tetap ada kerana kaulah sahabat teragungku nombor satu.