Ahad, 30 September 2012

My Best Friend - Syahrin (1)

Ini rincian kisah sahabat saya Syahrin seperti yang pernah saya siarkan di blog ini dulu. 

Hasil perbincangan semua rakan penyewa, kami sepakat mencari ganti dua penyewa baru menerusi iklan yang kami tampal di beberapa lokasi strategik. Kami iklankan kekosongan untuk dua orang lelaki islam bujang.

Alhamdulillah, memang perumahan di sekitar kawasan ini sangat laris untuk di sewa. Hanya dalam dua hari saja kami sudah temui bakal penghuni baru. Kali ini dua lelaki bujang yang saling bersahabat berasal dari Kelantan telah kami pilih. Satu bernama Hamka dan satu lagi bernama Syahrin. Kemasukan mereka menggenapkan kuota rumah kami berenam. Dua dari Perak, satu dari Pahang dan Selangor, mereka berdua dari kelantan dan aku dari Johor. 

Adat tinggal di rumah bujang, faham-faham sajalah. rumah kami lebih baik sikit dari kapal karam. Di mana bilik tidur, di mana ruang tamu dan di mana dapur pun semuanya sudah tidak ada yang ambil tahu. Pinggan mangkuk di bilik tidur? biasa. Tuala dan seluar dalam di ruang tamu? juga biasa. Hal-hal begini jika ditegur pelakunya boleh jadi gaduh. Maka kami biarkan sajalah. Tak mau perpanjangkan isu. Apa yang penting, hubungan tetap terjaga dan kami ada tempat berlindung. 

Hubungan aku dengan penghuni sediaada berlangsung biasa. Tidak terlalu istimewa dan tidak pula membosankan. Pokoknya, umpama prinsip kawan datang dan pergi. Cuma aku sadar telah ada kehendak yang luar biasa untuk aku kenal Syahrin, rakan baru di rumah kami itu. Dari tutur katanya yang tak pernah meninggi, dari raut manis wajahnya, dan dari saiz tubuhnya yang kecil itu benar-benar membuat keinginan mendekati dia memuncak. Aku bercita-cita semoga satu hari nanti dia bakal aku miliki, sebagai apapun yang aku harapkan. Semoga ada jalannya untuk aku mengenali dia.