Rabu, 12 Jun 2013

Riwayat 8 - Sahabat Teragung (4)

SAMSURIZAN. Nama itu terlalu sering bermain dibibir. Sosoknya masih aku ingat hingga kini, dan wajahnya selalu sering terbayang di mata. Dari semua hal itu, tentulah kenangan yang aku kutip bersamanya tetap segar dalam ingatan meski itu sudah 15 tahun berlalu.

Usia Samsurizan dua tahun lebih muda dariku. Saat pertama kali kenal dia, aku Tingkatan 4 dan dia di Tingkatan 2. Lucunya, kadang-kadang dia panggil aku abang. Kadang-kadang dia panggil aku Lek saja, nama panggilan di sekolah. 

Sejak berkenalan, kami sering pergi dan pulang sekolah bersama-sama. Jika ada yang lambat, salah seorang harus tunggu. Semuanya bagai sudah disepakati. Hingga hari ini, aku masih ingat tutur katanya. Antara yang masih terngiang-ngiang, dia sering lafazkan kata mutiara 'Tak Kenal Maka Tak Sayang, Tak Kasih Maka Tak Kawan, Bukan Cinta', Hebat bukan. Usianya baru 14 tahun, tapi sudah pandai menyusun kata. Akalnya tak tergambarkan di usia. Aku sendiri waktu itu belum pandai fikirkan begitu.

Antara lain yang masih aku ingat, dia sering beri teka-teki setiap kali kami jalan bersama. "Lek, apakah jawapannya kalau kita campurkan A dan kalikan dengan I?" Seharian di sekolah aku fikirkan soalan itu, namun masih gagal temui jawapan. Akhirnya waktu pulang dari sekolah dia berterus terang. "Campur A Kali I itu, jawapannya, taxi". Jelasnya. "Apa la, abang aku ni, soalan senang macam tu pun tak dapat jawab".

Dia juga selalu perli begini "teka-teki teka tekuk, ular mati takut sejuk, apakah itu ya sahabatku?". Inilah teka-teki paling poyo dari dia yang langsung akan buat aku ingin ketawa, sekaligus jadi merah muka. Dia sebenarnya cuba kaitkan teka-taki ini dengan titik pertama yang membuat kami saling kenal dan bersahabat sejauh ini. Ia tentang kisah aku ketika teduh hujan di pondok tepi sawah hujung tahun yang lalu, Ternyata dia masih ingat setiap momen yang kami lalui, meski saat itu kamu belum pernah saling kenal.

SAMSURIZAN. Sahabatku yang paling agung. Aku masih ingat pada satu hari ketika kita pulang dari sekolah. Waktu itu aku tak enak badan dan hilang mood untuk bertegur sapa. Kesihatanku terganggu. Lalu kau datang memelukku dari belakang, sandarkan kepalamu ke bahu, lalu jari-jarimu meneroka mukaku, menyentuh mataku, memegang bibirku, dan mengusap dahiku. Aku tahu itu tandanya sayang.

Tahukah kau Samsurizan, bagaimana seksanya aku ketika harus berehat dua minggu di rumah gara-gara demam cengkering. Dua minggu kita tak jumpa. Dua minggu kau pulang sekolah sendiri. Waktu itu, aku hanya dendangkan lagu tema pilihan kita, "gurisan hidup" dan "satu" sebagai penghibur suasana. Aku masih ingat, sembuh saja aku dari demam dan mula bersekolah, kaulah orang pertama aku ingin jumpa. Dan aku memelukmu penuh kasih. Tentu kau masih ingat semua itu.

Cuti penggal ialah hari yang paling kita tunggu. Inilah waktunya untuk kita bertemu di luar waktu persekolahan biasa. Lokasi kita ialah di sawah. Berkubang di tali air, mengejar ikan dan bermain hujan sampai kau kena marah dengan ayahmu. "Ayah kau baik 'kan, Lek" begitu katamu bila kau bandingkan ayahmu dengan ayahku. Ingat lagi tak Samsurizan? Kita tak pernah serik untuk terus berkubang di sawah. Dan kita ulangi perbuatan itu lagi dan lagi.

Tahukah kau Samsurizan, selama bersahabat denganmu, kau dah mengubah total sifat diriku. Aku lupa pada naluri songsang yang aku miliki. Aku terlupa pada kebiasaan onani. Aku lupa pada semua kebiasaan jahat yang pernah aku lakukan sebelum ini. Malah sewaktu bersamamu, tak terlintas langsung untuk aku berbuat semua itu. Bagiku, melakukan salah padamu umpama menyakiti diriku sendiri. Perasaan sayang ini jauh lebih kuat dari mencari kenikmataan sesaat. 

Samsurizan, bukan kita tak pernah mandi telanjang di tali air di hujung sawah bersama-sama. tapi tak pernah aku rasai keanehan apa-apa. Malah kita saling bantu jaga aib satu sama lain sampai kita yakini kau dan aku adalah satu. Tidak ada kau, tidak ada aku. Kita bagaikan isi dengan kuku. Aku masih ingat kata-kata mu, "kau adalah cerminan hidupku". Aku masih ingat semua ini. 

SAMSURIZAN, kenangan jalani setiap detik bersamamu terlalu banyak melebihi apa yang mampu aku tuliskan di sini. Saat ini, aku hanya harap kau sihat dan berbahagia tak kira walau di mana kau berada. Aku sayang padamu sahabatku. Samsurizan, kau sahabat teragungku nombor satu, di seluruh isi alam, dunia dan akhirat. Aku tak temui siapapun sahabat sebaikmu selapas dari ini. Hingga ke detik ini. :-( 

Selasa, 11 Jun 2013

Riwayat 7 - Sahabat Teragung (3)

Temasya sukan tahunan sudah berlalu, tak ada lagi aktiviti luar yang boleh aku harapkan untuk kembalikan kejadian seperti hari itu. Kejadian di mana buat pertama kalinya komunikasi aku dengan budak lelaki itu berlaku. Kini pembelajaran dimulai lagi tanpa kendala bererti. Aku mungkin tak perlu lagi berharap temui 'sahabat' yang aku ingini itu. 'Sahabat' yang kali pertama aku lihat ketika di sawah pada cuti hujung tahun yang lalu.

Sebenarnya sesi persekolahan masih muda. Aku masih di Tingkatan 4. Masih banyak masa untuk terlalu memikirkan SPM. Bagaimanapun tetap juga ada ujian penggal yang harus dijalani. Aku akui bahawa aku harus melupai hasrat yang mungkin takkan tercapai. Hasrat bersahabat dengan remaja itu, mungkin hanya angan-angan yang tak berdasar. Tak ada apa lagi yang memungkinkan keajaiban itu terjadi. Kini, aku harus kembali belajar seperti dulu. Belajar dengan rakan sekelas dan berdiskusi hal-hal remaja yang sesuai dengan tingkat perkembangan minda kami. Hal-hal rakan sebaya. 

Di sekolah ini, aku ada enam sekawan. Namun aku lebih rapat dengan Suhail kerana jarak rumah kami yang lebih hampir. Apalagi kerana kami tinggal di jalur jalanraya yang sama. Jadi kami sering pulang berdua. Tapi tengahari itu, aku pulang sendiri. Suhail ada mesyuarat persatuan. Jadi aku pilih balik awal. Malas pusing-pusang di pekan sendirian. Aku pulang naik bas sekolah, lebih cepat sampai, dan percuma lagi.

Dalam bas, aku pilih tempat duduk paling tepi di bahagian tengah badan bas. Seperti biasa, bas sekolah yang tak kenakan biaya ini bergerak bersama muatan yang lebih had. Tapi pada hari ini, di dalam muatan yang sendat itu ada dia. Tanpa di sangka, remaja lelaki yang sangat ingin aku kenali itu ada di depan mata. Remaja yang dulu aku temui di sawah, kini ada dalam satu bas yang sama. Ya Allah, terima kasih kerana makbulkan hasratku.

Dengan rasa berbunga-bunga, aku pandang dia. Aku mahu dia tahu kalau aku ada di dekat dia. Syukur pada Tuhan, dia sedar, dan tiba-tiba dia senyum. Tapi pandangan matanya dia buang jauh ke luar. Aku tak mahu terlalu berharap. Barangkali dia senyum akan hal-hal luar yang sedang bermain di mindanya. Aku berhenti berharap. Tak mahu cepat-cepat perasan kalau senyuman manis itu untuk aku. itu mungkin itu hanya perasaan sendiri.

Sesi senyum pandang bermula lagi. Mata aku yang tadinya melihat keluar, aku halakan ke arahnya. Dan dia tersedar lagi, lalu tersenyum semula. Tapi pandangan matanya pantas dialih keluar. Hairan budak ini. Dia buat aku penasaran.

Buat ke sekian kalinya aku lihat dia lagi. Dan dia tersenyum lagi. Aku mengalah juga kerana tak tahan mengawal bibir dari mengukir senyum,  Lalu senyumku yang paling mahal itu pun pecah jua. Kerana aku tahu dia juga melihat aku.

Sedang kami berbalas senyum, bas berhenti betul-betul di kampung pertama, Kampung Haji Salim. Aku ingat, aku pernah lihat bahwa dia pernah tunggu bas di kampung ini. Bererti ini kampung dia. Tapi dia tak turun. Dia masih duduk di bangku yang sama dalam bas ini. Tak berganjak sedikitpun dari tempatnya. Hairan lagi. Aku semakin penasaran. Dalam hati bertanya 'kenapa dia tak turun di situ?'  Dia tetap senyum seperti tadi.

Bas bergerak semula. Kali ini dia bangun, berjalan ke belakang lalu dia duduk betul-betul di sisiku. Kini dia di sebelah, dan nyata ada di depan mata. Berbunga rasa hati. Alam ini seperti jadi milikku. Hasratku termakbul.

"Kenapa tak turun tadi?" aku mulakan bicara. Dia diam. Hanya ada senyum yang terukir. Dunia serasa mati. Beberapa suara sumbang remaja nakal yang tak henti memekak mencacatkan suasana. Bas terus laju menuju kampung-kampung seterusnya.

"Aku nak ikut kau balik, boleh?" tiba-tiba dia bersuara."Oh...?," aku tergamam. Tak mampu teruskan kata-kata. Hati jadi kembang dan tak semena-mena berdebar. Sempat aku lihat tag nama pada bajunya. Di situ tertulis "SAMSURIZAN".

"Kenapa tadi kau tengok aku?" tanya Samsurizan. Aku terdiam lama. Tak tahu harus balas apa pada soalan yang seperti satu temparan padu. "Kau pula, kenapa tengok aku?"  tanyaku mengalih soalan. "Sebab aku memang cari kau" balas Samsurizan jujur. Aku terdiam lagi. Terkelu lidah sebaik mendengar jawapan paling ikhlas dari seseorang yang baru berusia awal remaja.

"Aku pun cari kau"  balasku, mengulangi jawapan Samsurizan. Aku makin berani bersuara demi melihat dia yang tak sedikitpun berselindung. Hebatnya aturan Tuhan, Dia memang mengerti keinginan dua insan yang benar-benar ingin bersahabat. Suasana mati lagi. Kelu lidah ini, tak tahu apa yang nak dibicarakan.

"Samsurizan!, pertama kali aku panggil nama itu. "kampung aku dah sampai, jadi aku turun di sini" sambungku lagi. "Ok, aku pun turun sini". jawab dia selamba. Kelam-kabut aku dengar jawapan itu. Tak tahu mana nak ku bawa dia nanti. "Tak usah risau, aku hanya temankan kau sampai sini". Jelas Samsurizan. "nanti aku naik bas lagi sampai Kampung Haji Salim" sambung dia.

Tengahari itu, buat pertami kalinya, dan pada komunikasi perdana kami, Samsurizan berani temaniku hingga ke depan kampung. Tak terbayang bagaimana semua ini boleh berlaku.

Sampai hari ini, tak hilang momen indah itu

"Perempuan itu adik kau, bukan?" tiba-tiba dia bersuara. Rupanya dia lebih kenal latar diriku. Sudah banyak info tentang aku yang dia cari. "Adik kau tingkatan 2 Gemilang, kan?" ujurya lagi. Kagumnya aku. Entah bagaimana dia tahu semua ini.

Aliza, adik perempuanku itu tak tangguh-tangguh berjalan pulang. Aku tak turuti langkah dia. Ada rasa takut dan malu dalam diriku kalau Aliza melihat, Aku takut fikirkan yang bukan-bukan tentang pandangan orang. Namun ada juga rasa bangga. Aku kini miliki sahabat yang aku kira cukup sempurna. Sahabat yang memang aku cari berbulan lamanya.

Lama juga tunggu di pinggir jalan, di perhentian bas di depan kampungku, untuk bantu Samsurizan tunggu bas. Aku tak terfikir mahu bawa pulang dia ke rumah. Takut kena marah. Tiba-tiba di bersuara "Abang, bas dah sampai". teriak Samsurizan. Dia panggil aku abang. Pertama kalinya seumur hidupku ada yang panggil aku abang. Adik aku pun tak pernah panggil aku abang.

"Bang, bas dah sampai" Sambung dia ketika aku masih kaget dengar panggilan keramat itu."Oke-oke, nanti kita jumpa lagi"  balasku laju. Terkejut dengar ulangan dia kali yang kedua. Cepat rasanya masa berlalu. Sahabat yang susah payah aku cari ini sudah mahu pergi. Sebagai tanda penghormatan, aku ucapkan kata-kata ini, 'hati-hati di jalanan duhai adikku', tapi ucapan itu hanya mampu ku lontar dalam hati, tak berani lafazkan dengan nyata kerana aku belum yakin pada diri sendiri.

Kini aku kenal dia. Hari ini, detik ini dan tempat ini, telah jadi saksi bisu bagaimana mulanya persahabatan paling suci pernah aku jalani. Sahabat pertama yang paling aku sayangi. Sahabat pertama yang paling aku hormati dan dialah sahabat paling agung yang pernah aku miliki. Semoga saat ini Samsurizan bahagia di mana pun dia berada.

Isnin, 10 Jun 2013

Riwayat 6 - Sahabat Teragung (2)

Keputusan PMR sudah diumum. Syukur, aku dapat keputusan yang baik. Meski tak cemerlang di peringkat sekolah, tapi tetap lebih baik dari keputusan kakak dan abangku yang lebih atas. Malah, pencapaian ini jauh meninggalkan kedua sepupuku, Amat dan Ali. Aku terus melangkah ke tingkatan 4 dalam kelas yang pertama terbaik di sekolah ini. Tingkatan 4 Amanah.

Pada sesi persekolahan tahun ini, ayah terima bantuan dari seorang rakannya, seorang pemandu bas sekolah. Aku tak tahu kerana apa, tapi aku yakin kalau itu hadiah balas budi. Melalui bantuan itu, kami dua beradik tak perlu bayar satu sen pun kalau naik bas dia. Adik perempuan aku naik ke tingkatan 2. 

Satu pagi aku terlewat bangun. Teruk aku kena marah, dan ayah berkeras tak mahu berikan duit lebih untuk aku naik bas awam. Mau tak mau, aku terpaksa korek sisa-sisa duit yang ada dan terpaksa tahan makan di waktu rehat nanti. Di kampung ini, hanya aku saja pelajar yang ketinggalan bas. Mujur di kampung-kampung lain di depan sana, ada ramai lagi pelajar lain yang bernasib sama. Kami terpaksa naik bas awam.

Belum pun sampai ke sekolah, bas awam yang kami naiki sudah sendat. Hampir segenap ruang sudah terisi. Tapi, masih ada satu lagi kampung lain belum dilewati. Bas terus meluncur laju, dan bakal melewati kampung yang satu itu. Di sana, dari jauh aku lihat ada pelajar sedang tahan bas awam sama. Malang sekali bas sudah penuh dan tak mahu berhenti. Kasihan dia. Aku perhatikan wajahnya yang sayu. Ya Tuhan, itulah dia remaja yang aku cari selama ini. Bakal sahabat yang sering tergambar di dalam mimpi-mimpi sejak beberapa bulan yang lalu .

Tak sia-sia aku lewat bangun. Tak rugi kena marah dengan ayah pagi tadi. Rupanya ada hikmah di belakang semua itu. Aku temui semula remaja putih kuning yang pernah aku jumpa di sawah dulu. Meski sekadar lihat dari jauh, sekurang-kurangnya aku tahu di mana kampungnya. Mungkin aku harus berharap agar terlepas bas sekali lagi. Agar mampu lihat dia setiap hari, Tapi itu tak mungkin, barangkali aku hanya mampu berharap.

Dua bulan selepas sesi persekolahan dibuka, sekolah kami anjurkan temasya sukan tahunan. Seperti tahun sebelum, latihan mingguan dilangsungkan selepas tamat kelas sesi pagi. Aku, selaku ahli rumah hijau harus jalani latihan setiap petang selasa. Pada hari pertama latihan, aku dapat lihat lagi 'bakal' sahabatku itu. Ternyata dia juga wakili rumah hijau. Tapi kami hanya berpandangan dari jauh. Dia dengan temannya dan aku dengan teman-temanku. Tapi ekor mata kami seperti diikat, hanya terlerai bila kelibat masing-masing hilang dari pandangan. Mungkinkah ini jodoh?,

Ya Tuhan, aku sungguh-sungguh mahu kenal dia. Aku mahu dengan sangat. Dari ekor matanya yang tak lepas memandang, aku juga amat yakin kalau dia juga mahu kenal denganku. Aku yakin dialah remaja yang aku temui di sawah dulu.

Tak berapa lama, temasya sukan sekolah pun bermula. Berkobar semangatku menyokong rumah hijau, tapi lebih semangat lagi untuk aku jayakan misi sendiri. Misi yang jauh lebih penting dari menyokong rakan-rakan sepasukan. Hari ini aku simpan hasrat agar dapat jumpa dia, yang belum pernah aku kenal nama. Sayangnya jejak dia tak terlihat sepanjang hari ini. Dunia terasa kosong. Aku putuskan untuk pulang ke rumah sebelum temaya berakhir. Mahu pergi ke sawah dan mengadu nasib pada burung dan padi.

Di perhentian bas, tak tahu kenapa aku terlalu emosi. Aku tak hirau siapapun yang ada di sekelilingku dan siapapun yang naik bas yang sama denganku. Bas mula bergerak dan berhenti di kampung pertama. Ada dua pelajar yang turun di kampung itu. Dan... ya Tuhan, salah satunya ialah dia. 'Terkilannya. 

Rugi juga terlalu emosi. Sudahnya aku telah terlepas peluang keemasan ini. Kalau tidak tentu kami dapat berbual bersama dalam bas ini. Cuma ada juga hikmahnya. Dia ternyata dapat lihat aku dari jauh, dan seolah-olah beri isyarat tangan dan kemudian lemparkan satu senyuman yang sentiasa manis bagiku. Lalu pandangan indah itu hilang ketika bas bergerak meninggalkan kampung itu.

Mungkin inilah permulaan yang baik. Dia angkat tangan. 'Ya kawan-kawan, lihatlah, dia dah angkat tangan'. Suaraku terpecah dalam suasana yang tiba-tiba berubah. Wajahku yang tadinya murung, jadi ceria. Sepertinya teriakan itu bergema ke seluruh isi bas. Tapi mujur itu hanya imaginasi. Jeritanku hanya lantang dalam hati sendiri. Namun sudah cukup buat alamku berbunga-bunga. Kata orang, seribu langkah di depan bermula dengan langkah pertama. Mungkin begini layaknya orang yang bercinta. Tapi aku yakin kami berdua takkan sampai ke tahap itu. Jadi aku ulang ayat itu sekali lagi, 'Mungkin begini layaknya orang yang bersahabat'.

Hari ini, dan hal yang terjadi tadi bagai memberikan satu tanda. Ada sinar di depan yang mulai pancar. Aku yakin itu. Aku yakin dengan sangat. Aku yakin dapat bersahabat dengannya, dengan jujur dan suci. Aku ingin sekali ya Tuhan. Tolonglah, kerana aku yakin dia juga berharap hal yang sama dengan ku.

Ahad, 9 Jun 2013

Riwayat 5 - Sahabat Teragung (1)

Kertas PMR terakhir telah aku duduki. Aku yakin, aku mampu lulus dengan cemerlang dan membuat siapapun yang mengejekku sebelum ini gigit jari. Selepas 'putus' cinta monyet dengan Salasiah, aku tak toleh ke belakang, cinta sementara itu sungguh menyakitkan. Seksanya melupakan dia. Perlahan-lahan aku ngorak langkah, ubah sikap, dan mahu belajar dengan tekun kerana tak mau dipermainkan. Perubahan positif diri ini sayangnya tak ditanggapi dengan baik dua sepupuku, Amat dan Ali. Kalaupun PMR ini tidak cemerlang, aku harap semoga ia lebih baik dari pencapaian sepupu-sepupuku itu.

Aku harungi cuti hujung tahun ini dengan penuh penantian.

Musim cuti ini, aku isi masa dengan bantu ayah di kebun dan sawah. Kebetulan waktu itu padi di sawah sedang menguning. Aku selalu disuruh ayah untuk halau burung takut-takut memakan padi. Selalunya aku disuruh jaga seorang diri kerana kerjanya tak berat. Waktu ini, abang kandungku sedang sambung belajar di Jepun, jadi akulah anak lelakinya yang ada untuk diharapkan. Adik lelakiku pula baru darjah satu untuk disuruh membantu.

Sawah kami lima kilometer dari kampung. Waktu itu, kehidupan keluarga kami tidaklah sesenang hari ini. Masih aku ingat, tiap pagi aku dihantar ayah ke sawah, sebelum dia ke kebun getah. Aku hanya dijemput pulang ketika hampir waktu asar. Tujuh jam di sawah, banyak aktiviti rahsia yang aku lakukan. Selain halau burung dari makan padi, aku juga terlalu kerap main 'burung' sendiri. Maklumlah ketika usia di awal remaja, apa saja yang akan aku lakukan dalam suasana sendirian begini?

Begitulah tugas anak lelaki dari keluarga petani seperti kami. Inilah punca rezeki kami. Pengalaman mengerjakan sawah adalah pengalaman berharga dalam hidupku. Ada kisah manis disebaliknya yang akan aku ceritakan selepas ini.

Ketika langit di atas kepala mulai mendung, aku masih di sawah menanti ayah yang tak kunjung menjemput. Entah apa alasannya aku tak tahu. Sudah hampir pukul empat, tapi ayah masih belum sampai. Lalu aku putuskan untuk jalan kaki (bayangkan sejauh 5km). Malang sekali baru sepuluh minit berjalan, hujun mula turun dan kian lama kian lebat. Aku lari sekuat tenaga menuju pondok kecil milik pesawah berhampiran. Di sana ada seorang remaja lain yang sedang berteduh. Ada basikal disisinya. Aku yakin itu milik dia. Kami hanya berdua tanpa bertegur sapa. Aku pun tak terlalu pedulikan dia kerana kami tak pernah kenal siapa. Tapi dia sering perhatikan aku, kenapa?. Seperti ada suatu yang tak kena. Aku gelisah tak keruan. Tak tahu apa yang salah pada diri ini sampai asyik diperhati. Lalu aku beranikan diri lihat dia, mungkin ada hal yang mau dia perkata. Tapi dia hanya berpaling semula.

Remaja itu, wajahnya putih kuning. Rambutnya keriting kasar. Bibirnya merah merekah dan sosok tubuhnya menggambarkan usianya yang jauh lebih muda. Tak ada respon dari dia, aku berpaling semula melihat awan sambil mengharap agar hujan segera berhenti. Ekor mata remaja ini masih lihat suatu. Aku sedar pasti ada yang tak kena. Hairan anak ini. Aku cuba tangkap pandangan dia. Kali ini tertangkap. Matanya tak sempat dipindah. Cuma dia masih diam bila wajahnya ditatap. Hanya ada senyum kecil terlihat dihujung bibirnya. Manis senyumannya. Aku ingin lihat lagi.

Lama juga adegan pandang-senyum itu berlaku, akhirnya aku sedar kalau seluarku sedang ternganga. Aku terlupa kemaskan harta peribadiku dengan baik selepas aku kerjakan dia dengan tanganku siang tadi.. Aku malu tersipu-sipu. Jangan-jangan dia terlihat ada burung kecil yang sedang kesejukan di dalam. Aku perkemaskan diri dengan menutup ruang yang ternganga itu dengan baju. Dia pun senyum lagi, kemudian alih pandangan ke arah padi yang menguning. Walau matanya melihat padi, senyumnya masih tak hilang.

"Siapalah budak ini", tanyaku dalam hati. Aku tak pernah lihat dia di kampung kami. Adegan memalukan itu rupanya jadi titik tolak keinginanku yang luar biasa untuk mengenali dia dengan lebih dekat. Seperti ada suatu hal yang positif mampu aku peroleh dari dia. Mungkinkah?

Selepas hujan reda, aku pulang jalan kaki sambil di kepala bercampur-campur antara rasa malu dan ingin tahu. Siapakah dia? Kenapakah dia sering senyum melihat aku?. Rasa penasaran itu tersimpan berhari-hari. Setiap hari, aku selalu berharap agar padi teruslah menguning, agar aku dapat terus ke sawah lagi, mengharap hujan, mengharap ayah janganlah datang agar aku dapat pulang jalan kaki. Agar aku dapat peluang bertemu dengannya, Cuma aku yakin peluang itu mungkin terlalu tipis.

Setiap hari hatiku teriak "Aku ingin lihat dia, aku ingin lihat dia, aku ingin lihat dia, aku ingin kenal dia". Begitulah kata hatiku sepanjang masa sampai terbawa-bawa ke dalam mimpi.

Tak tahu kenapa fikiran aku sering terkenangkan remaja itu. Aku betul-betul ingin kenal dia, bersahabat, lalui zaman remaja bersama-sama dan harungi usia dewasa bersama-sama. Aku sangat ingin.