Isnin, 30 November 2009

Riwayat 1: Lahirnya seorang Jelitawan

Aku berasal dari sebuah kampung yang terletak di bahagian tengah selatan semenanjung. Kampungku sebuah kampung yang unik. Ia dihuni oleh 9 beradik sedarah-daging yang berasal dari satu keluarga Jawa. Setiap beradik mewariskan paling sedikit 9 keluarga dan paling ramai 16 keluarga. Familiku termasuk dalam keturunan 9 keluarga, dan kami memiliki sembilan beradik. Ini bererti angka sembilan sangat sinonim dengan keluarga kami. Moyangku sembilan beradik, Nenekku sembilan beradik, ibuku sembilan beradik dan kami anak-anaknya juga sembilan orang. Pendek kata, kami sekampung semuanya bersudara. Cuma aku bukanlah anak yang ke-9.

Aku lahir pada pagi isnin, pertengahan haribulan di bulan pertengahan, pada tahun ke-15 selepas Singapura keluar dari Malaysia. Seperkara lagi yang unik tentang ku, kelahiran aku disusuli dengan kelahiran dua lagi sepupuku yang lain. Masing-masing dilahirkan selang seminggu. Bagai dirancang, aku lahir pada Isnin minggu ke-2, sepupuku lahir pada isnin minggu ke-3 dan seorang lagi sepupuku lahir pada isnin minggu ke-4. Bagi mengabadikan peristiwa yang unik ini, tiap keluarga menamai anak mereka dengan nama yang hampir sama. Diawali dengan huruf M, berakhir dengan huruf I. Mungkin besar harapan keluarga besar kami untuk melihat 3 sepupu ini membesar bersama. Sayangnya tidak begitu. Caraku membesar berlainan dari dua sepupu ku itu.

Waktu kelahiran ku dulu, mungkin ayahlah antara orang yang paling gembira. Mana tidak, setelah 4 kali kelahiran, barulah lahir anak lelaki keduanya buat peneman abang kandungku yang sudah pun berusia 12 tahun waktu itu. Sudah tentu abangku juga turut gembira mendapat adik lelaki. Empat orang adiknya sebelum ini semuanya perempuan. Abangku anak kedua dalam keluarga selepas kakak sulung. Dan aku adalah anak yang ke tujuh. Turutan saudara kendungku seperti ini: - (1) Kakak, (2) Abang, (3) kakak, (4) kakak, (5) kakak, (6) kakak, dan (7) aku.

Sesudah dua tahun usiaku, kami sekeluarga menyambut kelahiran orang baru. Seorang bayi perempuan. Kini aku tersepit di tengah-tengah antara dua orang saudara perempuan di atas dan di bawah. Kelahiran adikku itu melengkapkan proses perempuanisasi yang aku hadapi. Kami bertiga dilayan sama tanpa mengenal batas jantina.

Masa terus berganti, aku semakin membesar menjadi anak lelaki yang comel. Kami bertiga membesar bersama kerana jarak usia yang rapat. Aku turut dibelai dan dimanjakan oleh saudara kandungku yang lain, lebih-lebih lagi oleh tiga orang kakak di atas kami. Aku diajak bermain bersama, dimandikan serentak dan dipakaikan wangi-wangian sebegaimana adik dan kakakku itu. Kami juga disalinkan masing-masing sepersalinan pakaian kanak-kanak tanpa mengira jantina. Pendek kata, apa yang kakak dan adikku pakai, aku juga memakainya. Begitulah mereka mendidik aku. Sayang waktu itu ayah dan ibu tak mampu banyak berperanan lantaran sibuk bekerja. Kami anak pesawah yang tidak pernah kenal hari cuti.

Semakin dewasa, aku semakin merasakan diriku ini seorang anak perempuan sama seperti adik dan kakak. Masih ku ingat, aku menangis meronta-ronta mahu dipakaikan telekong ketika ibu ajar mengaji. Begitulah, proses perempuanisasi ke atasku hampir lengkap sudah. Hanya menunggu usia akil baligh sebagai kemuncaknya. Aku sudah pandai meniru mengenakan gincu, maskara dan segala kosmetik lain yang digunakan kakak-kakakku.

“saya cantik tak, mak?” begitulah tanyaku kepada ibu. “...Cantik” jawab ibu tak mau menghampakan. “anak mak memang cantik jelita” Sambung ibu. Jelita? barangkali itulah pujian paling tak ikhlas darinya, mungkin hanya untuk mengelak aku dari menangis. Akhirnya kata jelita lekat menjadi nama timang-timanganku waktu itu. Baik dikalangan keluarga mahupun jiran sekampung. Sepanjang zaman kanak-kanakku, aku sangat gembira dengan panggilan itu. Akulah Jelitawan anak ibu dan ayah. Kini jelitawan baru saja lahir dalam keluarga kami. Akulah si jelitawan itu. Begitulah andaianku.